Orang luar selalu 'lebih tahu' apa yang berlaku di dalam berbanding orang dalam sendiri. Memang mereka tahu dari 'sumber dalaman' tapi cuma maklumat yang berpihak kepada si pemberi sumber sahaja dan maklumatnya juga terhad. Selepas itu mereka akan membuat kesimpulan sendiri, menjatuhkan 'hukuman' sendiri dan berpandangan serong sendiri. Paling teruk, mereka akan menyebarkan cerita-cerita yang mereka sendiri tidak tahu sejauh mana kebenarannya.
Allah menjadikan sesuatu secara berpasang-pasangan. Bagi orang-orang yang berfikir, mereka tidak akan 'membaca' dan 'menerima' firman Allah tu secara terus. Sebaliknya, jika kita betul-betul berfikir, Allah bukan semata-mata mencipta makhluk-makhluk bernyawa, benda-benda tak bernyawa atau alam saja. Allah juga mencipta perasaan dan mewujudkan sebab dan akibat sesuatu kejadian. Allah juga mencipta ujian-ujian dan dugaan-dugaan untuk kita. Dia menciptakan hati sebagai 'bekas penerimaan' kita terhadap ujian-ujian dan dugaan-dugaan tu. Dia juga menciptakan akal yang fungsinya lebih besar dari hati, untuk kita berfikir dan mencari jalan keluar. Dan dia juga menyediakan panduan bagi membantu kita dalam usaha itu.
Adakalanya kita jadi orang 'terbuang'. Tapi kebiasaannya itu berpunca dari diri kita sendiri. Adakalanya kita jadi orang yang 'dilepaskan'. Itu juga biasanya berpunca dari kita sendiri. Dan adakalanya pula kita jadi orang yang 'ditinggalkan' dan itu juga biasanya perpunca dari kita sendiri. Di mana pun kita berada dan dengan siapa pun kita sedang bersama, ceritanya adalah cerita yang sama.
Allah itu maha adil. Kita akan merasa berdiri di atas, satu masa kita juga akan merasa duduk di bawah. Allah tidak akan menjadikan kita susah tanpa sebab. Dia tak akan beri penyakit tanpa penawar. Dia tak akan 'kurung' kita dalam sangkar ujian-nya yang tidak ada kunci. Dan selalunya, kita adalah punca dan penyebab kepada kesusahan kita sendiri, penyakit kita sendiri dan 'kurungan' kita sendiri. Kita boleh menuding jari semahunya pada orang lain. Kita boleh lantang berteriak orang itu salah, orang ini salah. Tapi kalau seluruh masa kita dihabiskan dengan menuding dan mencari salah orang, kita tidak akan nampak yang diri kita juga turut menjadi punca dan tidak akan mahu mengaku salah. Mungkin akan datang, orang lain yang memang bersalah akan menjadi semakin baik kerana membaiki kesalahannya. Tapi kita yang leka melihat dan menuding kesalahan orang, akan terus dengan sikap buruk kita itu.
Selagi kita tidak mahu berehat seketika dari perasaan benci dan menuding jari serta mahu membuka mata dan hati lalu mendengar luahan rasa orang lain terhadap kekurangan diri kita sendiri, selagi itulah kita akan jadi orang-orang yang membangga diri dan tidak tahan diuji. Tiada manusia yang sempurna. Kerana itulah Allah tidak menjadikan kita hidup bersendiri.
Kuncinya, Allah Maha Adil. Itu saja. Noktah.
Senyum.
